Anti-pendudukan Perancis di Syria Izz_ad-Din_al-Qassam

al-Qassam kemudiannya mendaftar dalam tentera Uthmaniyyah apabila Perang Dunia Pertama meletus, di mana dia mendapat latihan tentera dan menjadi pegawai agama di sebuah markas berdekatan Damsyik. al-Qassam menggunakan dana yang dikumpulnya dalam rancangan ekspedisi ke Libya yang gagal untuk membentuk penentangan Perancis di Jableh setelah pulang sebelum perang tamat. Peranan utamanya dalam penentangan di Jableh adalah mendapatkan senjata bagi tentera Jableh. Menjelang 1919, tentera Perancis bergerak ke kawasan pesisiran pantai di utara Syria sementara Faisal I membentuk Kerajaan Syria di Damsyik sebagai sebuah negara Arab yang merdeka. Pada masa ini, tentera Jableh pimpinan al-Qassam melawan tentera Alawiyyah tempatan yang dibantu Perancis yang menguasai beberapa kawasan di sekitar bandar tersebut. Tentera Alawit akhirnya berjaya dihalau, namun tentera Perancis bergerak masuk tidak berapa lama kemudian untuk memperkukuh penguasaan mereka. Seterusnya, al-Qassam dan ramai anak muridnya berundur ke Gunung Sahyun di mana beliau membina sebuah markas berdekatan sebuah kampung di Zanqufeh untuk melancarkan serangan gerila melawan tentera Perancis.

Tentera al-Qassam semakin membesar apabila disertai sebuah pasukan tentera penentang lain yang bermakas di sekitar gunung itu selepas kematian komandernya Umar al-Bitar. Sementara Perancis menguatkan penguasaannya di kawasan itu, mereka berjaya menekan beberapa pemilik tanah terkemuka Jableh untuk menghentikan aliran bantuan kewangan kepada pasukan al-Qassam dan membayar cukai kepada kerajaan Mandat Perancis. Tindakan ini memberikan lebih tekanan kepada al-Qassam yang terpaksa berundur dari Sahyun ke Halab pada Mei 1920. Di sana, al-Qassam dan para pejuangnya bergabung dengan pasukan Ibrahim Hananu yang memimpin serangan-serangan ke atsa tentera Perancis sehingga Hananu ditangkap di Jisr ash-Shugur pada bulan Julai. Susulan kejayaan tentera Perancis tersebut dan penyerahan Halab kepada Perancis yang semakin hampir, al-Qassam dan pasukannya berundur ke Tartus dengan pasport palsu.